Misteri Gunung Daik

Posted on Posted in Budaya

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik Bercabang Tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua

Kita biasa mendengar dan membacakan pantun warisan di atas. Namun kita tidak tahu cerita rakyat di sebalik pantun ini. Pantun warisan ini sebenarnya mempunyai banyak mitos dan lagenda.

Pantun warisan ini memperkatakan tentang kedudukan Pulau Pandan yang jauh ke tengah lautan sementara gunung Daik bercabang tiga. Di manakah Pulau Pandan dan gunung Daik? Sekiranya kita ke kepulauan Riau seperti Batam dan Tanjung Pinang, kepulauan Lingga terletak jauh sedikit ke selatan di laut Cina Selatan. Kita hanya boleh menaiki feri dari Tanjung Pinang ke Pulau Lingga. Daik atau dikenali sebagai Tanah Bonda Melayu terletak di Pulau Lingga dan menjadi ibu kota kepulauan Lingga.

GUNUNG DAIK BERCABANG TIGA
Gunung Daik yang terletak di selatan Pulau Lingga memang bercabang tiga. Namun cabang yang di sebelah kanan (jika dilihat dari pelabuhan) kelihatan lebih pendek dan seolah-olah hanya setengah saiz ketinggiannya berbanding dua cabang yang lain. Menurut pakar sejarah Lingga dan penduduk Daik Lingga, ada cerita rakyat yang disampaikan dari mulut ke mulut sehingga sekarang mengenai gunung Daik bercabang tiga. Cerita rakyat itulah yang menyebabkan terhasilnya pantun warisan ini.

DATUK KAYA MONTEL
Sekitar abad ke 17, datanglah seorang pahlawan Bugis yang bernama Datuk kaya montel ke Daik. Pada waktu itu Kepulauan Lingga diketuai oleh Megat Kuning yang merupakan orang laut. Org suku laut amat setia pada Megat Kuning. Mereka dipercayai adalah keturunan Bajau Laut yang berpindah dari selatan perairan Sulawesi ke Kepulauan Lingga. Namun apabila Megat kuning dialahkan oleh Datuk Kaya Montel, orang laut telah bersumpah taat setia pada Datuk Kaya Montel sampai bila-bila.

ORANG SUKU LAUT
Orang Laut di kepulauan Lingga itu hidup di pesisir pantai di atas sampan yang berkajang. Anak-anak mereka dibuang ke laut ketika bayi sebagai satu adat untuk menjadikan anak-anak lasak menempuhi cubaan untuk hidup. Uri bayi dibuang ke laut sebagai tanda bahawa anak itu akan menjaga lautan kerana lautan adalah rumah nenek moyang mereka. Masyarakat Orang Laut ini sangat setia dan saling bantu-membantu serta bermuafakat. Mereka hidup bergotong-royong. Mereka amat sayangkan Datuk Kaya Montel yang berilmu, hebat gagah, arif dan berjasa memimpin Kepulauan Lingga sehingga makmur.

JATUH SAKIT
Suatu hari, Datuk Kaya Montel telah jatuh sakit. Kesemua orang laut naik ke darat untuk menunggu khabar berita keadaan kesihatan Datuk Kaya Montel. Mereka naik ke bukit dan berkampung berbulan-bulan. Malangnya, disebabkan orang laut tidak biasa hidup di darat, banyak yang jatuh sakit dan ada anak-anak orang laut yang mati. Datuk Kaya Montel amat terharu dan bersimpati. Justeru Datuk Kaya Montel pun menggesa orang laut pulang ke laut dan tidak perlu terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatan Datuk Kaya Montel. Ada orang laut yang masih berbelah-bahagi. Justeru Datuk Kaya Montel pun membuat pengisytiharan, “Baliklah ke laut. Kalau ada sesuatu yang luar biasa berlaku, matilah aku.” Maka pulanglah rombongan orang laut ke laut.

PETIR MEMANAH GUNUNG
Suatu malam, guruh petir berdentum-dentam dan hujan ribut sangat dahsyat. Ketika itulah, salah satu cabang gunung Daik sebelah kiri telah patah dipanah petir. Bahagian yang patah itu telah tercampak ke tengah lautan antara Pulau Lingga dan Pulau Singkep. Lalu, terjadilah sebuah pulau. Orang ramai pun menamakannya Pulau Pandan. Berikutan keanehan itu, Datuk Kaya Montel pun meninggal dunia. Sehingga sekarang, cabang sebelah kiri Gunung Daik kelihatan patah setengah. Cabang yang pada awalnya digelar Cindai Manis telah ditukar mencadi Cindai Menangis. Cabang tengah yang tirus dan tidak pernah berjaya didaki itu digelar Cindai Pinjaman. Cabang di hujung pula digelar Cabang Gunung Daik.

KESIMPULAN
Berbalik pada kisah kematian Datuk Kaya Montel yang penuh dengan mitos luar biasa, maka pantun pun dibuat orang. Pulau Pandan jauh ke tengah. Gunung Daik bercabang tiga. Hancur badan dikandung tanah. Budi yang baik dikenang jua. Baris maksud pantun itu sebenarnya melengkapkan gambaran pembayang yang menjadi cerita lagenda rakyat. Datuk Kaya Montel, walaupun telah meninggal dunia dan hancur jasadnya di perut bumi, namun segala budi baiknya terus dikenang orang. Begitulah indahnya pantun warisan yang kaya tersirat dengan cerita rakyat.

 

 

Hasil Karya : Noor Hasnah Adam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *