Amalan Mulia

Posted on Posted in 2018, Budaya, Pengenalan Kata

Kepentingan mendidik anak-anak dalam amalan hidup berjiran

Jiran adalah insan terdekat dalam kehidupan kita. Sekiranya ada apa-apa masalah atau hal-hal yang berlaku kepada kita, maka jiranlah orang yang pertama kita minta bantuan, terutama sekali apabila berlaku atau terjadi sesuatu kemalangan atau tragedi yang buruk. Misalnya, ahli keluarga kita mendapat kecelakaan di dalam rumah, seperti ada kebakaran kerana kecuaian yang tidak disengajakan, atau ada antara ahli keluarga kita yang diserang sakit jantung, pengsan, terjatuh di kamar mandi dan lain-lain lagi kemalangan di dalam rumah, yang pastinya sementara menunggu polis dan ambulans tiba, jiranlah tempat kita minta bantuan.

 

Oleh itu, setiap orang semestinya berbaik-baik dengan jiran tetangga mereka. Bukan sahaja orang dewasa, malah anak-anak juga. Anak-anak haruslah ditanamkan nilai suka membantu dan menolong jiran mereka terutama orang yang tua dan tidak berdaya. Mungkin ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak supaya selalu berkunjung dan menziarahi jiran-jiran mereka sekiranya ada yang sakit atau ada orang tua yang tidak berdaya. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama ketika menziarah jiran mereka. Didiklah anak-anak tentang betapa pentingnya mengamalkan hidup berbaik-baik dengan jiran. Galakkan anak-anak menunjukkan sikap bersopan dan selalu bertegur sapa ketika berselisih jalan atau bertembung di lif, di kolong blok, di taman permainan, di koridor flat dan sebagainya.

Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak membantu jiran-jiran yang mempunyai orang-orang tua yang tidak berdaya bergerak sendiri, yang perlukan bergerak dengan menggunakan tongkat, atau berkerusi roda. Ajar dan tunjukkan kepada mereka bagaimana mereka boleh membantu orang-orang tua yang tidak berdaya itu. Selain dari itu, apabila kita adakan majlis-majlis perayaan seperti menyambut Hari Raya, majlis perkahwinan dan sambutan hari jadi, undanglah jiran-jiran dan anak-anak mereka turut sama meraikannya. Melalui sambutan perayaan beginilah kita dapat terapkan sedikit tentang mengapa kita merayakan sesuatu perayaan itu.

Sesungguhnya, mengamalkan hidup berbaik-baik dengan jiran-jiran kita adalah suatu nilai murni yang tidak boleh diukur dengan wang atau harta kekayaan. Kalau kita biarkan anak-anak bersikap sombong dan bangga dengan kemewahan, kekayaan dan wang yang mereka miliki sehingga tidak mahu bercampur dengan jiran-jirannya, akhirnya nanti anak-anak akan dipulaukan dan mereka akan hidup bersendirian tanpa teman atau kawan. Mereka akan hidup dalam dunia mereka sendiri yang berkesudahan seperti ‘katak di bawah tempurung’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *