Lawatan Sukaralewan Ke Sikkim, India

Posted on Posted in Jelajah, Sukarelawan

Menghadiri sesi perkongsian Service Learning Club (SLC) secara kebetulan, menarik minat saya untuk menyumbang kepada masyarakat.

Apa yang menarik minat saya untuk turut serta dalam sesi perkongsian dengan pihak Service Learning Club (SLC) ialah ia memberi tunjuk ajar kepada para sukarelawan merancang keseluruhan aktiviti untuk lawatan kesukarelawanan di luar negara. Namun sebelum para sukarelawan layak menyertai lawatan kesukarelawanan di luar negara, para sukarelawan perlu melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di dalam negara terlebih dahulu.

Justeru setelah melibatkan diri dalam pelbagai kerja kemasyarakatan di dalam negara, akhirnya saya layak mengikuti lawatan kesukarelawanan ke luar negara. Pada bulan Disember lepas, Sikkim menjadi destinasi saya dan sekumpulan guru pelatih dari Institut Pendidikan Nasional (NIE) untuk kami menyumbang tenaga sukarelawanan kami. Saya begitu teruja dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan dan menyumbang tenaga di Sikkim.

Sikkim merupakan sebuah kota di kawasan barat negara India. Kotanya terletak di antara Nepal dan Bhutan. Kami berlepas dari Singapura menuju ke New Delhi sebelum menaiki pesawat domestik ke Bagdogra. Selepas itu perjalanan darat diteruskan selama enam jam hingga kami tiba di sebuah perkampungan di Sikkim iaitu Yuksom.

Walaupun teruja untuk menyertai lawatan darmawisata ke Sikkim, saya dan rakan-rakan berasa risau sekiranya ada masalah yang mungkin timbul. Ini kerana kami tidak mengikuti sebarang agensi. Malahan kami menguruskan sendiri segala tugas pentadbiran dan logistik di Singapura dan di Sikkim.

Bergambar bersama dengan kakitangan Khanchendzonga Conservation Committee (KCC)

Namun selama enam belas hari kami berada di Yuksom, kami beruntung kerana dapat bekerjasama dengan Khanchendzonga Conservation Committee (KCC) untuk membantu kami mencapai kesemua matlamat dan misi lawatan kesukarelawanan yang kami harapkan. KCC telah ditubuhkan dengan matlamat utamanya untuk mendidik para penduduk tempatan tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Selain daripada itu, KCC juga merupakan sebuah pusat informasi bagi para pelancong yang berminat untuk melakukan aktiviti pendakian di Taman Nasional Khanchendzonga.

Di perkampungan Yukson, bermulalah aktiviti-aktiviti kesukarelawanan kami dengan kerjasaman KCC. Kumpulan saya menyumbangkan tenaga kami untuk mengubahsuai pusat pelawat, manakala ahli kumpulan lain pula telah menganjurkan kelas Bahasa Inggeris untuk para penduduk Yuksom serta mereka sebuah lelaman untuk KCC.

Kumpulan kami juga telah berhasrat untuk menyumbang beberapa beg kekacang untuk kanak-kanak tempatan. Kami telah sebulat suara untuk menggunakan bebeola yang dibuat daripada styrofoam bagi beg-beg kekacang yang akan kami hasilkan. Namun, pihak KCC telah menyarankan kepada kami agar kami menggunakan pembalut plastik terpakai yang telah dicincang oleh mesin pencincang sebagai isi beg-beg kekacang yang akan kami hasilkan. Idea mengitar semula pembalut plastik yang disarankan oleh pihak KCC merupakan antara inisiatif yang menarik dan berkesan dalam usaha menjaga alam sekitar. Saya benar-benar tabik dengan kesungguhan pihak KCC menjaga alam sekitar dengan memberi tunjuk ajar kepada kami tentang cara-cara menarik untuk mengitar semula barang-barang terpakai dalam menghasilkan sesuatu yang baru yang dapat dimanfaatkan oleh para penduduk tempatan.

Selain daripada itu, aktiviti mendaki ke Puncak Tshoka yang terletak dalam kawasan Taman Nasional Khanchendzonga, telah memberikan impak yang mendalam terhadap diri saya. Sepanjang aktiviti pendakian ke Puncak Tshoka, kami telah dinasihatkan agar mengumpul dan menyimpan semua sampah peribadi kami. Kami telah dimaklumkan untuk berbuat demikian kerana tiada tong sampah yang disediakan di kawasan pendakian kami. Setiap pendaki yang mendaki Puncak Tshoka harus bertanggungjawab menjaga kebersihan di sekitar kawasan tersebut. Walaupun tugas ini nampak mudah, ia sebenarnya amat mencabar kerana saya tidak terbiasa membawa ‘tong sampah bergerak’ selama tiga hari. Namun kepuasannya dapat dinikmati kerana sememangnya sekitar kawasan Puncak Tshoka bebas daripada sampah-sarap dan membuatkannya bersih dan nyaman.

Aktiviti mengumpul pembalut plastik

Berdasarkan pengalaman kesukarelawanan saya ke Sikkim, saya amat mengalu-alukan para remaja untuk melibatkan diri mereka dalam aktiviti kesukarelawanan, tidak kiralah di dalam atau luar negara.

Melakukan kerja-kerja kesukarelawanan dapat membantu kita memahami dan lebih prihatin terhadap keadaan sekeliling. Sebagai contoh, lawatan darmawisata ke Sikkim yang saya ikuti ini telah membuka mata saya kepada aspek tentang pentingnya menjaga alam sekitar. Selama ini, secara tidak sedar, saya rasa saya kurang memberikan tumpuan dan perhatian tentang penjagaan dan kebersihan alam sekitar. Namun kini saya lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan alam sekitar. Malahan saya kini sering diusik oleh rakan-rakan kerana masih mengamalkan tabiat mengangkut ‘tong sampah bergerak’ ke mana sahaja saya pergi. Rupa-rupanya pengalaman mengangkut sendiri ‘tong sampah bergerak’ selama tiga hari sepamjang aktiviti pendakian ke Puncak Tshoka telah seakan-akan menjadi sebati dengan diri saya. Bagi saya, tabiat ini adalah langkah permulaan yang boleh saya lakukan untuk menyelamatkan dan menjadikan bumi tempat yang lebih bersih, terjaga dan lebih baik untuk didiami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *