Semangat Kesukarelawanan Masih Kuat Membara Dalam Jiwa Rakyat Singapura

Posted on Posted in Sukarelawan

Amarah alam kian menggerunkan. Gegar gempa, muntahan lahar dan limpahan air berlumpur merupakan antara petaka alam yang menerobos tanpa mengenal belas mahupun ihsan untuk meranapkan harta, menguburkan nyawa dan menghanyutkan impian serta harapan manusia.

Sememangnya, kunjungan tamu ini tidak ditentukan oleh masa. Apatah lagi untuk dikawal dan ditunda kemunculannya. Yang pasti kunjungan tersebut tidak bertarikh luput dan tidak perlu pula sebarang kebenaran untuk menggegarkan seisi alam.

Namun apapun gambaran derita yang terpapar di akhir kunjungan itu, ternyata pukulan bencana tidak meranapkan mahupun menghakiskan kemanusiaan dalam jiwa rakyat Singapura. Malah, setiap petaka yang menimpa dunia menggemburkan semangat kesukarelawanan dalam jiwa rakyat Singapura. Semangat kesukarelawanan itu seakan-akan siap siaga untuk dikerahkan ke mana-mana dan menabur bakti tanpa dipengaruhi agenda tertentu. Wang, masa dan tenaga disumbang tanpa ragu. Yang menjadi matlamat adalah untuk menyelamatkan nyawa, menghulurkan bantuan dan meringankan beban yang digalas mangsa petaka alam. Meskipun ada kalanya kehadiran para sukarelawan di negara yang dilanda bencana itu diancam bahaya dan dihurung ketidaktentuan keadaan. Namun semangat kesukarelawanan yang menebal dan kian diasak derita mangsa menggagahkan langkah mereka untuk mengharungi cabaran demi mencapai tujuan murni.

Bukan untuk mendabik dada terhadap segala yang telah dilakukan. Apatah lagi untuk mencatatkan nama sebagai negara penyumbang terbesar dalam senarai bantuan kemanusiaan antarabangsa. Namun apa yang didedahkan adalah satu penghargaan dan kebanggaan terhadap sikap rakyat Singapura yang sentiasa ingin membantu dan memiliki rasa simpati dan empati terhadap nasib orang lain. Satu kenyataan yang perlu dipaparkan agar rakyat Singapura terutama generasi muda yang masih kecil atau golongan mereka yang belum terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab sosial untuk mengambil iktibar dan meneruskan semangat kesukarelawanan ini ke tahap yang lebih membanggakan.

Mengimbas antara detik-detik rawan dan meruntun jiwa sekaligus merakamkan semangat kesukarelawanan rakyat Singapura untuk menyahut seruan menghulurkan bantuan seperti gelombang tsunami yang melanda Aceh, Indonesia (2004), taufan Nargis di Myanmar (2008) dan gempa bumi di Haiti (2010). Bukanlah jumlah wang ataupun berat timbangan keperluan dan perubatan yang dikirimkan ke negara-negara yang ditimpa bencana alam itu yang membuktikan semangat kesukarelawanan rakyat Singapura. Sebaliknya, kespontanan respons dan usaha untuk memastikan adanya bantuan dihulurkan pada setiap bencana alam adalah sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, banjir terburuk yang melanda Malaysia pada tahun lalu, khususnya di Pahang dan di Kelantan tidak mengharapkan bantuan antarabangsa namun keprihatinan dan semangat kesukarelawanan yang begitu ketara dalam kalangan rakyat Singapura tidak sekadar memerhatikan perkembangan dan menantikan saat semboyan bantuan digemakan. Malahan ramai yang mengambil inisiatif untuk mengumpulkan dan mengirimkan keperluan asas ke negara tersebut. Tentulah sikap sebegini yang diharapkan berterusan dalam jiwa rakyat Singapura.

Sebagaimana layaknya tumpuan diberikan terhadap bencana-bencana alam yang lalu, begitu juga penggemblengan tenaga, bantuan kewangan dan kepakaran disepadukan untuk membantu negara Nepal yang terkenal dengan keindahan Gunung Everestnya dan baru sahaja digegarkan dengan musibah gempa pada lewat April tahun ini. Lebih 100 gempa susulan yang melanda Nepal. Angka korban di bawah langit Nepal semakin meningkat. Mereka yang terselamat dilaporkan berhadapan dengan suhu yang membeku dan berada dalam serba kekurangan. Pastinya rakyat Singapura tidak dapat membayangkan cabaran dan dugaan yang disaluti derita dan kesakitan rakyat Nepal tetapi yang jelas kejadian tersebut menuntut kemanusiaan rakyat Singapura. Justeru itu deretan bantuan yang diusahakan pelbagai organisasi, persatuan dan sebagainya segera disalurkan ke Nepal.

Semoga semangat kesukarelawanan ini terus dipupuk dan membara dalam jiwa rakyat Singapura demi kemaslahatan sejagat dan juga persediaan kita untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan. Jiwa yang sedar terhadap tanggungjawab sosial pasti dapat membentuk masyarakat yang berperikemanusiaan dan bermoral tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *